KOTA TINGGI, 28 November – Sebuah kapal tangki telah ditahan Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada jam 11.00 pagi di kedudukan 15.8 batu nautika timur laut Tanjung Penawar setelah nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika diperiksa.
Kapal terbabit dikendalikan oleh 17 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh berumur diantara 21 hingga 58 tahun.
Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.











