23
Thu, Apr

MARITIM NEGERI SELANGOR | CUBA LOLOSKAN DIRI, 14 PATI DITAHAN BERSAMA 8 BUNGKUSAN DADAH

PELABUHAN KLANG, 13 Oktober – Maritim Negeri Selangor berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Selangor kerana cuba menyeludup keluar secara haram dari Malaysia awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, berdasarkan maklumat risikan yang diterima dan panduan dari Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang, satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkah.

Maritim Malaysia Negeri Selangor telah mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 20 minit.

Dalam adegan itu terdapat beberapa orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan pada jam 11.10 malam.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber bewarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran itu terdapat 9 penumpang perempuan Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bot dan kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan lanjut di Jeti PPM, menemukan dua beg di dalam bot yang tidak diambil oleh PATI di mana beg itu mengandungi lapan bungkusan mampat serbuk kristal bewarna putih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 9 kilogram.

Bungkusan itu diserahkan kepada pengawai penyisat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup keluar dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,700 sekepala dan mereka dikatakan hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana membawa masuk atau keluar PATI dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON