KUALA KEDAH, 11 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya merampas 160 set bubu naga dalam empat siri rampasan yang dijalankan di beberapa lokasi di perairan Tanjung Dawai hingga ke perairan Kuala Kedah sepanjang minggu ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini merupakan rondaan pemantauan rutin yang dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemeriksaan semasa rondaan di lokasi berkenaan oleh pihak Maritim Malaysia.
Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu dan meletakkan pelampung penanda, pancang kayu dan beberapa alatan GPS yang mencurigakan pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.
Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM20 ribu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam operasi rondaan bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
Salurkan aduan ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579 untuk maklum balas segera.













