KUALA KURAU, 4 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis gentian kaca bersama tiga nelayan warga Myanmar di kedudukan 8.7 batu nautika barat Pulau Terong, Perak pada jam sekitar 12.50 tengahari semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata semasa melaksanakan rondaan rutin di perairan Larut Matang, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan merapat untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 21 hingga 40 tahun, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan spesifikasi kuasa kuda jentera utama bot telah diubah suai tidak seperti yang tertera pada lesen.
Selain itu, ketiga-tiga nelayan terbabit tidak memiliki kebenaran menggajikan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kesemua kru nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan kru warga asing.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang persekutuan di perairan negara.
Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
![]()










