IPOH, 2 Mac – Seramai lapan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal mengikuti Kursus Asas Juruterbang di Layang-Layang Flying Academy (LLFA), Ipoh.
Lapan pegawai itu merupakan kumpulan pertama yang akan menjalani kursus asas penerbangan yang dijangka mengambil masa 18 bulan.
Majlis penyerahan pelatih juruterbang helikopter APMM siri 1/2023 telah diadakan secara ringkas di akademi berkenaan semalam.
Simbolik penyerahan kesemua pegawai pelatih itu telah disempurnakan oleh Ketua Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Kepten Maritim Syed Islam bin Shahajam dan disaksikan oleh pegawai dari Bahagian Operasi Udara APMM di Layang Layang Flying Academy, Ipoh.
Untuk rekod, LLFA telah mendapat kontrak bagi melatih seramai 24 juruterbang APMM, 12 pegawai sistem udara, 12 Aircrewman dan 12 perenang penyelamat secara berperingkat mulai tahun ini.