PULAU TIOMAN, 22 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Program Latihan Pelayaran PASKAM UMPSA Siri 2/2024 selama dua hari bermula 18 hingga 19 Julai 2026 di Pusat Taman Laut Pulau Tioman.
Seramai 49 kadet mengikuti latihan ini menerusi penglibatan aset Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) SEBATIK, KM TATAU serta bot PERKASA 1245 dan PERKASA 1246.
Sepanjang program, para kadet diberikan pendedahan secara langsung mengenai operasi di atas kapal Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa evolusi latihan seperti penggeledahan, Man Overboard (MOB), prosedur keselamatan, latihan water confident serta aktiviti perkhemahan dan khidmat komuniti di pulau berkenaan
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan berkata, program seumpama ini merupakan platform terbaik dalam membentuk bakal pegawai maritim yang bukan sahaja memiliki pengetahuan asas pelayaran, malah mempunyai disiplin, ketahanan mental serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.
Beliau berkata, pendedahan awal terhadap operasi sebenar di laut akan memberi nilai tambah kepada para kadet sebagai persediaan sebelum menamatkan latihan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan maritim yang berkualiti.
Tambah beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan UMPSA akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dalam sektor keselamatan maritim negara.
Program sepanjang dua hari itu berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik dan semua peserta serta aset yang terlibat berjaya menamatkan latihan dengan selamat.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor di Jeti Taman Laut Pulau Tioman sebelum kesemua peserta bergerak pulang ke Pos Maritim Teluk Gading.
Turut hadir menyertai program ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMPSA, Prof. Madya Dr. Mohd Razali bin Daud, Penolong Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMPSA serta Komander Maritim Fadli Hisham bin Muhammad, Cawangan PSMM dan PASKAM, Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat APMM.
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT
MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI
SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM
PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.
Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.
Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.
"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.
Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.
"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.
Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.













.svg.png)

