PUTRAJAYA, 19 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini turut menyertai Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) sempena program Ihya’ Ramadan, yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan dan semangat kebersamaan di Auditorium Kompleks Setia Perkasa 8, Putrajaya.
Maritim Malaysia telah diwakili oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, selaku wakil rasmi agensi bersama barisan pegawai kanan KDN serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, serta Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada KDN dan seluruh warga agensi penguatkuasaan di bawahnya atas komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan serta keselamatan sempadan negara, menjaga ketenteraman awam, di samping memperkasa integriti, meningkatkan profesionalisme dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat kerjasama strategik antara jabatan dan agensi termasuk Maritim Malaysia akan terus menjadi elemen penting dalam memastikan keselamatan negara kekal terpelihara, khususnya melibatkan aspek keselamatan perairan dan sempadan maritim negara.
Majlis turut diserikan dengan pengisian rohani melalui tazkirah bertajuk 'Madrasah Ramadan' yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali@Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, yang menekankan Ramadan sebagai medan tarbiah, pembentukan sahsiah serta pemerkasaan nilai murni dalam kehidupan dan perkhidmatan.
Penganjuran program Ihya’ Ramadan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim antara kepimpinan negara dan warga KDN, malah menjadi platform mempertingkat penghayatan Ramadan serta memperteguh iltizam penjawat awam dalam melaksanakan amanah demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
EMPAT REMAJA MASIH HILANG, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN DI PANTAI TANJUNG LOMPAT
MARITIM MALAYSIA BANTU PINDAHKAN PESAKIT SERANGAN JANTUNG DARI LANGKAWI
SEJARAH TERCIPTA, 127 KADET DITAULIAHKAN SEBAGAI LEFTENAN MUDA PASKAM
PEKAN, 5 SEPTEMBER – Seramai 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) hari ini ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM selepas berjaya menamatkan latihan selama empat semester yang meliputi pembentukan disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerja berpasukan.
Pentauliahan ini mencipta sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga Universiti Awam, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 49 kadet daripada UMPSA, 30 kadet daripada UMT dan 48 kadet daripada UniMAP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.
Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi berkata, pentauliahan itu bukan sekadar menandakan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi manifestasi kejayaan melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berjiwa patriotik serta mempunyai kepimpinan dan jati diri yang tinggi.
"PASKAM bukan sekadar platform latihan berkawad atau aktiviti kokurikulum, sebaliknya medium membentuk mahasiswa yang memahami erti tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian serta kesediaan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata, PASKAM turut berperanan memperkenalkan mahasiswa kepada dunia maritim melalui pendedahan terhadap aspek keselamatan, penguatkuasaan, kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan serta kedaulatan negara di laut.
Sehingga kini, seramai 240 kadet aktif PASKAM berada di tiga universiti berkenaan, melibatkan 94 kadet di UMPSA, 65 kadet di UMT dan 81 kadet di UniMAP.
Menurut beliau, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan institusi pengajian tinggi menerusi PASKAM bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan, malah menjadi platform melahirkan bakal pemimpin muda yang memiliki sahsiah unggul, ketahanan diri, semangat patriotisme dan kesedaran tinggi terhadap keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga universiti awam merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pengajian tinggi negara.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 21 September 2016, PASKAM telah berkembang daripada sebuah platform latihan beruniform kepada medium pembangunan kepimpinan mahasiswa yang menekankan disiplin, integriti, semangat berpasukan dan kesiapsiagaan.
"PASKAM bukan sekadar membentuk mahasiswa yang berdisiplin, malah melahirkan individu yang mampu membuat keputusan secara matang, memimpin dengan berintegriti serta sentiasa bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan," katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara UMPSA dan Maritim Malaysia sebagai satu ekosistem strategik yang menyokong pembangunan modal insan dan ilmu, termasuk menerusi penerbitan buku OP NAGA BARAT: Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif Maritim Malaysia, yang memperkukuh pemahaman berkaitan keselamatan maritim daripada perspektif strategik, ekonomi, perundangan dan penguatkuasaan.
Pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berdisiplin, berintegriti, berwibawa serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi dalam mendukung usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

















.svg.png)

