KUANTAN, 14 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) telah menganjurkan Kursus Third Country Training Programme (TCTP) – International Maritime Interdiction Course (IMIC) 2025 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) yang bermula dari 3 hingga 14 November 2025.
Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun, berkata penganjuran kursus ini adalah bertujuan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama serta memperluaskan persefahaman di antara Malaysia, Jepun dan negara-negara peserta, selain memperkayakan pengetahuan dalam aspek operasi penggeledahan dan amalan terbaik penguatkuasaan maritim.
Menurut beliau, kursus ini turut memastikan para pegawai penguat kuasa dilatih dengan pengetahuan undang-undang yang tepat bagi melaksanakan tindakan penahanan secara lebih efisien, selamat, berkesan dan beretika selaras dengan keperluan operasi yang sebenar ketika di lapangan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut mengikuti lawatan sambil belajar ke beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, termasuk Istana Negara dan Pasar Seni, bagi memberi pendedahan mengenai sejarah tanah air, simbol kedaulatan negara serta warisan seni dan budaya tempatan.
Majlis Perasmian Penutup kursus telah disempurnakan hari ini dengan kehadiran JICA Project Formulation Advisor, Mr. Maeda Hiroshi, Principal Assistant Secretary, ICADD MOFA Malaysia, Encik Khairul Nizam Hashim, serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi, Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia, Encik Amirul Asyraf bin Ismail.
Untuk rekod, Kursus TCTP – IMIC 2025 ini telah disertai seramai 17 pegawai dari agensi penguat kuasa antarabangsa dari Djibouti, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Timor-Leste, Thailand dan Vietnam.
Manakala, sesi ceramah pengisian kursus telah disampaikan oleh barisan pegawai Maritim Malaysia bersama tenaga pengajar dari Japan Coast Guard (JCG).
Maritim Malaysia akan terus komited memainkan peranan dalam memperkukuh kapasiti negara-negara serantau melalui program latihan bertaraf antarabangsa demi menjaga keselamatan dan kestabilan perairan di rantau ini.
VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
MARITIM MALAYSIA - MET MALAYSIA PERKUKUH SINERGI DEMI KESELAMATAN PERAIRAN MALAYSIA
PUTRAJAYA, 7 September — Keselamatan di laut memerlukan lebih daripada kekuatan aset dan kesiapsiagaan anggota. Ketepatan maklumat cuaca dan keadaan laut turut menjadi elemen penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu operasi maritim.
Atas kepentingan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kunjungan hormat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menyambut delegasi METMalaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip.
Turut mengiringi beliau dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob.
Menurut Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli, Pertemuan berkenaan menjadi platform kedua-dua agensi bertukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam perkongsian data dan maklumat meteorologi bagi menyokong operasi penguatkuasaan, keselamatan maritim serta mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara.
"Maklumat ramalan dan amaran cuaca yang tepat serta pantas amat penting bagi membantu Maritim Malaysia merancang operasi, menilai risiko dan meningkatkan kesiapsiagaan, khususnya dalam melaksanakan operasi CARILAMAT ketika berdepan perubahan serta keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Tambahnya lagi, sinergi Maritim Malaysia dan METMalaysia ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh keupayaan negara, sekali gus memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan sektor maritim Malaysia sentiasa dilindungi.

















.svg.png)

