PUTRAJAYA, 13 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memandang serius terhadap aktiviti pengiklanan perkhidmatan membawa masuk dan keluar warga asing, termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, perbuatan sindiket serta individu tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dengan menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan untuk keluar dan masuk ke negara ini, disifatkan bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
“Selain daripada melanggar undang-undang, perbuatan ini juga membahayakan nyawa penumpang. Pihak terbabit tidak mengambil kira aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan atau pelampung, malah sering membawa muatan melebihi kapasiti bot.
“Maritim Malaysia akan meneliti kandungan akaun media sosial yang memuat naik iklan promosi perkhidmatan haram ini dan akan bekerjasama dengan semua agensi terutamanya PDRM untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan pemantauan dan siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” kata beliau lagi.
Selain itu, Maritim Malaysia juga akan melaporkan aktiviti promosi terbabit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat akaun media sosial yang dikesan daripada terus mengiklankan perkhidmatan tersebut.
Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkrompromi dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih agresif terutamanya dalam meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan di sempadan perairan negara.
Maritim Malaysia juga telah mengerakkan pesawat udara untuk melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan kehadiran bot-bot warga asing tersebut.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya digagalkan dan melibatkan penahanan 236 individu dari pelbagai negara.
Keselamatan sempadan maritim negara adalah tanggungjawab bersama. Orang ramai khususnya komuniti nelayan, penduduk pesisir pantai serta orang awam untuk tampil menjadi ‘mata dan telinga’ agensi penguat kuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Sebarang maklumat boleh dilaporkan terus ke talian kecemasan 999 atau ke pusat operasi Maritim Malaysia terdekat untuk tindakan segera.

























.svg.png)

