16
Jum, Okt

Grid List

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN

MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN

MARITIM MALAYSIA TIDAK KOMPROMI ISU PENYELUDUPAN PATI

PUTRAJAYA, 21 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan pihak agensi tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh atau membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau mana-mana kumpulan melalui perairan negara tanpa kebenaran yang sah.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya tegas dalam memastikan tiada sebarang aktiviti berkenaan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan perairan negara.

Beliau turut berkata, Maritim Malaysia komited mengekalkan keselamatan negara daripada ancaman terbabit dengan mengambil tindakan tegas serta terancang bagi memastikan keselamatan perairan negara dan kesejahteraan rakyat terjaga.

Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan khususnya di kawasan sempadan perairan negara selain memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk pihak berkuasa tempatan serta pihak berkuasa negara jiran untuk memantau dan mengawal pergerakan yang mencurigakan daripada memasuki ke Zon Maritim Malaysia.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2022, Maritim Malaysia telah berjaya menghalang 51 kes cubaan membawa masuk 413 PATI ke negara ini.

Manakala bermula Januari 2023 sehingga hujung minggu lalu, Maritim Malaysia telah berjaya mematahkan 74 kes cubaan membawa masuk seramai 277 PATI ke negara ini.

Berdasarkan kepada data berkenaan, jelas menunjukkan kesiapsiagaan Maritim Malaysia berada pada tahap yang optimum dan terbaik dalam memastikan perairan negara selamat.

 

PATI APMM

 

 

TUNDA IKAN DI ZON LARANGAN, BOT NELAYAN DITAHAN

LANGKAWI, 21 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan kira-kira 8 batu nautika barat Tanjung Cincin di sekitar jam 3.00 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan operasi OP AMAN dan OP TIRIS di perairan Langkawi.

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru yang kesemuanya warga Thailand dalam lingkungan umur antara 26 hingga 51 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti itu dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima belas batu nautika daripada pantai.

Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan itu.

Justeru Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2023 11 21 at 12.15.17 PM 1   WhatsApp Image 2023 11 21 at 12.15.18 PM

5 JAM BERAPUNG DI LAUT, MANGSA BOT TERBALIK DITEMUI SELAMAT

KUCHING, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang mangsa bot terbalik di Perairan Pulau Pahat, Kuching, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah menerima aduan pada pukul 11.45 pagi memaklumkan, mangsa Atar bin Akil mengalami kecemasan di laut kerana bot gentian kaca beliau telah terbalik dipukul ombak.

Sebaik sahaja menerima aduan, OP CARILAMAT telah diaktifkan dan BOT PENYELAMAT 8 telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Beliau turut berkata, misi pencarian mangsa turut dibantu oleh agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Penduduk kampung Telaga Air.

Mengulas lanjut berkenaan insiden terbabit, pihak Maritim Malaysia difahamkan, mangsa telah keluar ke laut untuk menangkap ikan pada awal pagi tadi dan mengalami situasi kecemasan pada pukul 10.45 pagi.

Mangsa telah diselamatkan oleh nelayan tempatan pada jarak 70 meter dari Pulau Tokong Burung pada pukul 3.15 petang setelah lima jam berapung di laut.

Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Telaga Air dan diberikan rawatan awal oleh pihak KKM.

Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada komuniti nelayan Telaga Air yang berusaha untuk membantu menyelamatkan mangsa walaupun keadaan laut tidak begitu baik ketika usaha CARILAMAT dijalankan.

Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut dan mengutamakan keselamatan diri

dengan memakai jaket keselamatan ketika di laut.

Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.

 

CARILAMAT APUNG   CARILAMAT APUNG 3   CARILAMAT APUNG 4

WASPADA HADAPI GELOMBANG MONSUN TIMUR LAUT

PASIR PUTEH, 20 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan memperingatkan kepada semua komuniti maritim seperti nelayan, komuniti perkapalan, industri cari gali minyak serta penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai khusus yang berada di kawasan Pantai Timur Semenanjung agar meningkatkan tahap kewaspadaan ketika musim Monsun Timur Laut.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia telah menunjukkan amaran angin kencang bertiup pada kelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter sedang melanda negara.

Beliau turut memaklumkan, hujan lebat berterusan diramalkan berlaku sehingga bulan Mac 2024. Fenomena pasang besar turut diramalkan bermula 19 November hingga 31 Disember ini.

Situasi ini boleh meningkatkan risiko kepada semua komuniti maritim, oleh itu bagi memberi kesedaran mengenai keselamatan di laut, Maritim Negeri Kelantan telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perjumpaan dengan komuniti dan rondaan pesisir laut yang diatur gerak bermula dari Pantai Tok Bali sehingga Pantai Sri Tujuh.

Melalui kempen-kempen ini, komuniti maritim diharapkan dapat membuat persiapan terbaik agar keselamatan nyawa dan harta benda terjamin selain dapat mengekalkan rekod sifar kes CARILAMAT di perairan Kelantan.

 

MONSUN KELANTAN

 

 

 

GUNA ALAT PERIKANAN TIDAK BERLESEN, SEBUAH BOT GENTIAN KACA DITAHAN

KUALA KURAU, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis gentian kaca bersama 130 unit bubu naga di kedudukan 4.40 batu nautika barat Pulau Pasir Hitam, Perak pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot terbabit ditahan oleh Maritim Malaysia yang sedang melakukan penugasan mengawal keselamatan peserta program Amazing Explorer di samping rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Bot terbabit dikesan dalam keadaan mecurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak dua kru nelayan termasuk tekong dan salah seorang daripadanya ialah warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah masing-masing berumur 29 dan 35 tahun berada di atas bot ketika penahanan dibuat.

Pemeriksaan dokumen turut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen dan turut ditemukan di atas bot yang sama sebanyak 130 unit bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM10 ribu.

Selain itu, tekong turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua mereka ditahan dan bot serta bubu naga dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu mengoperasikan vesel tanpa lesen serta Seksyen 11 (3)(b) akta yang sama memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak diwartakan.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan lanjut.

 

BUBU NAGA KK 2

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026

LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.

Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.

Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.

Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.

Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC