KUCHING, 17 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak menahan tiga buah bot nelayan asing Indonesia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit yang sah di Perairan Perikanan Malaysia sekitar pukul 6.05 pagi, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, KM KOTA KINABALU ketika dalam OP PERMAI, OP TIRIS dan OP KUDA LAUT telah mengesan tiga buah bot nelayan asing di kedudukan lebih kurang 110 batu nautika Barat Laut Tanjung Kidurong.
Beliau menambah, setelah merapat dan melakukan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga bot terbabit, anggota Maritim Negeri Sarawak mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga Indonesia pada setiap bot. Jumlah keseluruhan kru adalah sembilan orang dan mereka berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada nombor pendaftaran pada ketiga-tiga buah bot yang berasal dari Indonesia itu. Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan ketiga-tiga bot berkenaan didapati memasuki Perairan Malaysia bagi tujuan menangkap ikan.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua sembilan kru warga asing dan bot berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Zin Azman menjelaskan, tangkapan kali ini berlaku jauh dari sempadan Indonesia dan tidak wajar berlaku. Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah ini dengan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Maritim Negeri Sarawak akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terjaga.
Sebarang maklumat salah laku atau kegiatan jenayah dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.
















.svg.png)

