KUALA PERLIS, 13 Ogos – Seramai tujuh anggota Zon Maritim Kuala Perlis diberi pengiktirafan atas sumbangan jasa dan perkhidmatan yang cemerlang bagi mengharumkan nama agensi ini dalam kejayaan melakukan tangkapan dan rampasan terhadap kes berprofil tinggi termasuk dadah jenis syabu, ganja dan daun ketum pada tahun 2020 lalu di sekitar perairan negeri Perlis.
Kesemua mereka yang bertugas daripada Unit Bot dan Risik ini diberikan penghargaan Sijil Anugerah Tangkapan Berprofil Tinggi oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd Fazmin Shah bin Md Rafee Shah dalam majlis yang diadakan di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis pada 11 Ogos lalu kira-kira jam 10.00 pagi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Mohd Fazmin Shah bin Md Rafee Shah yang mewakili Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing turut menyampaikan amanat agar mereka terus bekerja lebih keras dan mengekalkan prestasi yang terbaik agar terus melakukan tangkapan dan rampasan yang boleh mengharumkan nama agensi amnya dan Zon Maritim Kuala Perlis khasnya pada masa akan datang.