26
Fri, Apr

37 GUNI BENIH KERANG BERJAYA DIRAMPAS

KUALA PERLIS, 28 Januari – Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 37 guni benih kerang yang ditinggalkan di muara Kuala Sungai Baru, Perlis awal pagi tadi.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, rampasan dibuat berikutan maklumat risikan yang diterima mengenai aktiviti penyeludupan benih kerang tersebut di sekitar perairan Kuala Perlis.

Justeru, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi ketika melakukan Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op MARDOF.

Setibanya di lokasi, seorang suspek bersama sebuah bot didapati berjaya melarikan diri dan meninggalkan 37 guni berisi benih kerang dan dianggarkan 30 kilogram setiap guni.

Benih kerang yang dianggarkan bernilai hampir RM20 ribu itu kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Peraturan 9 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan menjual benih kerang tanpa lesen.

Pembiakan semulajadi kerang terganggu oleh penggunaan peralatan tangkapan moden dan pelaksanaan projek akuakultur yang mengancam serta mencemarkan habitat kerang. Oleh itu, pembenihan kerang perlu dijaga supaya tidak mengalami kepupusan di masa akan datang.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.

KERANG PERLIS 2   KERANG PERLIS   KERANG PERLIS 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON