26
Fri, Apr

DUA KAPAL PENGANGKUT DITAHAN KERANA BERSAUH TANPA KEBENARAN

KOTA TINGGI, 9 Januari – Dua vesel jenis kapal pengangkut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, kapal pertama yang berdaftar dari Basseterre ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada pukul 1.00 tengah hari di kedudukan 8.0 batu nautika timur Tanjung Siang.

Manakala kapal kedua pula yang didaftarkan di Majuro ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 11.8 batu nautika timur Tanjung Lompat pada pukul 1.10 tengah hari.

Nurul Hizam turut memaklumkan, kedua-dua nakhoda kapal terbabit telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Kapal pengangkut yang berdaftar di Basseterre itu turut disiasat di bawah Seksyen 361 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak memiliki insuran wajib.

Beliau menambah, sepanjang tahun 2023 Op Jangkar Haram telah merekodkan sebanyak 88 buah tangkapan dengan jumlah denda keseluruhan RM2.21 juta. Justeru, diingatkan kepada pengusaha perkapalan atau nakhoda kapal supaya segala peraturan dan prosedur dipatuhi kerana usaha mengekang aktiviti bersauh secara haram ini akan digiatkan lagi tanpa kompromi.

Maritim Malaysia juga ingin menasihatkan kepada orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya lebih berwaspada dengan perubahan cuaca dan mengutamakan keselamatan berikutan negara kini berada dalam fasa monsun timur laut. Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

 

KAPAL DAGANG 3   KAPAL DAGANG 2   KAPAL DAGANG 4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON