27
Sat, Apr

LANGGAR SYARAT LESEN, BOT TUNDA KELAS B1 DITAHAN

LUMUT, 24 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 bersama seorang tekong warga tempatan dan lima kru warga asing di kedudukan 8.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, Perak pada sekitar jam 4.34 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi KM MARLIN ketika sedang melakukan rondaan rutin menerusi OP SAYONG / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak.

Bot yang mencurigakan itu kemudian dirapati untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama lima orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 25 hingga 48 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.

Kesemua nelayan ditahan, bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Polis Marin Kampung Acheh dan diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 08 24 at 11.09.21
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 11.09.22
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 11.09.22 1
 
WhatsApp Image 2023 08 24 at 11.09.22 2
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON