27
Sat, Apr

BOT NELAYAN DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, KRU DISYAKI POSITIF DADAH

PELABUHAN KLANG, 20 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 di perairan Sekinchan, sekitar jam 10.40 pagi pada 18 Februari 2023.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, bot kelas B1 itu dikesan oleh KM BAGAN DATUK pada kedudukan 13 batu nautika barat daya Sekinchan.

Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Myanmar berusia antara 33 hingga 41 tahun telah menjalankan aktiviti perikanan selama dua hari dan kesemua mereka dalam keadaan khayal.

Pemeriksaan lanjut telah menemukan dua keratan penyedut minuman serta satu plastik jernih mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat lima gram dan bong kaca yang diletakkan di tempat tidur tekong.

Kesemua mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dibayar RM 70 sehari untuk bekerja di bot berkenaan.

Turut ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat ialah kira-kira 100 kilogram ikan campur dan peralatan perikanan iaitu pukat tunda.

Bot, tekong dan kru bersama bahan terlarang dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Pihak Maritim Negeri Selangor mempelawa seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara bagi mengetahui peranan dan tanggungjawab sebenar Maritim Malaysia.

Melalui pemahaman yang telah dimiliki, Maritim Malaysia berharap masyarakat akan dapat bekerjasama dengan pihak agensi dalam membanteras jenayah di perairan negara.

WhatsApp Image 2023 02 20 at 12.50.50 
 
 WhatsApp Image 2023 02 20 at 12.50.50 1
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON