KOTA TINGGI, 13 JANUARI – Sebuah kapal tangki berbendera Malaysia dilaporkan telah tenggelam di kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Abu Bakar Maritime Base (ABMB) pada sekitar pukul 6.00 petang semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di ABMB mengesan sebuah kapal tangki yang melepaskan flare kecemasan dan memohon bantuan melalui radio pada pukul 4.40 petang sebelum melaporkan kejadian kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 5.00 petang dan Kapal Maritim (KM) NIAH diatur gerak ke lokasi kejadian. Bantuan aset juga telah disalurkan kepada Markas Wilayah Laut Satu (MAWILLA 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sekitar pukul 5.45 petang, dilaporkan kesemua lapan orang kru kapal tangki tersebut warganegara Indonesia telah meninggalkan kapal menaiki rakit kecemasan sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal tangki berbendera Indonesia yang berada berhampiran.
Pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya dengan kerjasama Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia telah bekerjasama dalam memastikan bagi urusan pemindahan kesemua mangsa yang dibawa kapal tangki terbabit ke Batu Ampar, Batam.
Pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan juga telah dimaklumkan bagi menghantar pemakluman kepada kapal-kapal dagang berhampiran mengenai kejadian dan tindakan selanjutnya bagi keselamatan navigasi kapal di lokasi kejadian yang berada di dalam perairan Malaysia.
OP CARILAMAT ditamatkan pada pukul 11.45 malam selepas kesemua mangsa disahkan selamat dan dipindahkan ke Pangkalan Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) Republik Indonesia di Pulau Bintan dengan menggunakan kapal KN SAROTAMA.
MRSC Johor Bahru menasihatkan kepada semua komuniti maritim agar berhati-hati di laut terutama sewaktu musim cuaca buruk dan angin kuat ketika ini.










