26
Fri, Apr

CEROBOH PERAIRAN NEGARA, BOT NELAYAN ASING VIETNAM DITAHAN

KUANTAN, 15 Mac – Maritim Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab berkata, ketika rondaan penerbangan dibuat oleh pasukan udara di sekitar perairan Pahang Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan seterusnya aset kapal Maritim Malaysia yang terlibat dalam rondaan OP MAKMUR dan OP TIRIS diarahkan untuk memeriksa bot itu.

Menyedari kehadiran kapal maritim, bot suspek cuba melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama.

Setelah berlaku adegan kejar buru hampir satu jam, bot nelayan itu berjaya dipintas seterusnya ditahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warga Vietnam.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

Kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru sekiranya disabit salah.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

 

WhatsApp Image 2024 03 16 at 8.23.36 AM
 
WhatsApp Image 2024 03 16 at 8.23.35 AM
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON