26
Fri, Apr

28 LAGI BUBU NAGA DIKESAN, MENJADIKAN JUMLAH RAMPASAN JANUARI SEBANYAK 262 UNIT

LUMUT, 2 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah merampas sebanyak 28 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika timur laut Pulau Talang, Perak lewat petang semalam sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan tahun ini adalah sebanyak 262 set bubu naga.

Mengulas lanjut berkaitan rampasan terbaharu, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup memaklumkan, bubu yang berukuran 10 meter panjang ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS melalui kain merah yang mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang kayu beserta botol yang dijadikan pelampung dan disyaki penanda bubu naga.

Jelas beliau, tinjauan oleh anggota telah mendapati pancang kayu tersebut dijadikan sebagai penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM2 ribu itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika seseorang individu disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hambali turut berkata, kesan penggunaan bubu yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu bukan sahaja boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang, malahan menjejaskan pendapatan nelayan terutamanya nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Tegas beliau, Maritim Negeri Perak akan menggandakan rondaan dan mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini kerana penggunaan bubu naga telah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bermula 1 November 2018.

Hambali juga mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan oleh kerajaan.

Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan  menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 02 02 at 1.54.50 PM   WhatsApp Image 2024 02 02 at 1.54.51 PM   WhatsApp Image 2024 02 02 at 1.54.52 PM
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON