26
Fri, Apr

MANGSA TERJUN LAUT DARI JAMBATAN PULAU PINANG DITEMUKAN SELAMAT

PULAU PINANG, 23 Januari – Seorang lelaki berbangsa India berumur 24 tahun merupakan mangsa terjun jambatan pertama Pulau Pinang telah ditemui selamat awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, pada awalnya Maritim Negeri Pulau Pinang telah menerima aduan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban berhubung kejadian seorang lelaki terjun laut dari Jambatan Pertama Pulau Pinang di Kilometer 2.2 arah Perai menghala ke Pulau sekitar jam 11.00 pagi tadi.

Susulan laporan itu, bot peronda diatur gerak ke lokasi kejadian serta merta bagi menyelamatkan mangsa di posisi berkenaan.

Sejurus bot bergegas ke lokasi, makluman diterima bahawa mangsa tersebut sempat ditemui dan dibantu oleh komuniti nelayan yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

Mangsa terbabit dikawal sementara oleh nelayan di kawasan selamat iaitu di tiang bernombor 76 Jambatan Pertama Pulau Pinang.

Rentetan itu, bot peronda tiba di lokasi berkenaan dan pemerhatian awal mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Mangsa juga turut dikawal selia oleh anggota bomba di lokasi berkenaan bagi memantau keselamatan lelaki tersebut.

Jelas beliau, setiba bot peronda yang di bawah perintah OP TIRIS 3.0, mangsa dipindahkan ke atas bot penyelamat Maritim Malaysia bersama anggota bomba Perai untuk dibawa merapat ke jeti PPM Batu Uban.

Sekitar pukul 11.30 pagi bot penyelamat tiba jeti PPM dan dipindahkan ke ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) Timur Laut bagi tujuan mendapatkan rawatan susulan di General Hospital Pulau Pinang.

Justeru, Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih terutamanya kepada komuniti nelayan dan pasukan sahabat dalam kerjasama menyelamatkan mangsa dari berlakunya kejadian yang lebih serius.

Jika terdapat sebarang insiden yang tidak diingini yang berlaku di laut dimohon agar disalurkan ke Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2620621.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON