27
Sat, Apr

GUNA ALAT PERIKANAN TIDAK BERLESEN, SEBUAH BOT GENTIAN KACA DITAHAN

KUALA KURAU, 19 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis gentian kaca bersama 130 unit bubu naga di kedudukan 4.40 batu nautika barat Pulau Pasir Hitam, Perak pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot terbabit ditahan oleh Maritim Malaysia yang sedang melakukan penugasan mengawal keselamatan peserta program Amazing Explorer di samping rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Bot terbabit dikesan dalam keadaan mecurigakan dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak dua kru nelayan termasuk tekong dan salah seorang daripadanya ialah warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah masing-masing berumur 29 dan 35 tahun berada di atas bot ketika penahanan dibuat.

Pemeriksaan dokumen turut mendapati bot terbabit tidak memiliki lesen dan turut ditemukan di atas bot yang sama sebanyak 130 unit bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM10 ribu.

Selain itu, tekong turut gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua mereka ditahan dan bot serta bubu naga dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu mengoperasikan vesel tanpa lesen serta Seksyen 11 (3)(b) akta yang sama memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak diwartakan.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan lanjut.

 

BUBU NAGA KK 2

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON