PUTRAJAYA, 9 NOVEMBER - Orang ramai khususnya komuniti maritim dinasihatkan agar menjaga keselamatan ketika berada di laut semasa Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah memaklumkan, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, seramai 1,172 individu terlibat dalam insiden di laut, dengan 53 dilaporkan meninggal dunia dan 24 lagi masih tidak ditemui.
Katanya lagi, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, pihak Maritim Malaysia menasihatkan kepada orang ramai khususnya para nelayan, pelancong, dan pengusaha bot agar menangguhkan terlebih dahulu sebarang aktiviti di laut buat masa ini.
Namun jelas beliau, sekira terdapat keperluan mendesak, Maritim Malaysia menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada di laut bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa di laut selain memastikan bot yang akan digunakan dalam keadaan selamat di samping minyak yang mencukupi.
Beliau berkata demikian pada Program Ujian Menembak Senjata Api Kecil sempena Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zulinda binti Ramly serta pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Dalam pada itu Datuk Haji Mohd Rosli turut menegaskan Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga menjaga perairan negara daripada segala ancaman jenayah di laut.
Ujar beliau, perkara ini dibuktikan dari Januari hingga Oktober 2024, Maritim Malaysia telah berjaya menahan 74 vesel nelayan asing (VNA) yang menceroboh perairan negara. Dari jumlah tersebut, nelayan Vietnam mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 46 kes, diikuti oleh 15 kes nelayan Indonesia, 12 kes nelayan Thailand, dan satu kes nelayan China.
Selain mengawal pencerobohan nelayan asing, Maritim Malaysia juga berjaya membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara dengan 151 kes direkodkan setakat Oktober 2024. Kes penyeludupan tertinggi adalah melibatkan kes penyeludupan petrol (46 kes), penyeludupan barangan kawalan (30 kes), diikuti, diesel (15 kes) dan tong gas LPG (11 kes).
Dalam kenyataan media yang sama, beliau turut menggesa seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak Agensi ini jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.
“Keselamatan di laut adalah tanggungjawab bersama. Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi pengawasan serta memperhebatkan usaha memerangi sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan perairan negara,” tambahnya.
Terdahulu beliau Bersama pegawai – pegawai kanan Maritim Malaysia bersama lebih 80 pengamal media tempatan menjalani Ujian Menembak Senjata Api Kecil di Lapang Sasar Shapadu, Putrajaya sempena Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2024.
VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUKAN, OPERASI CARILAMAT MASUK HARI KETIGA
SEORANG LAGI MANGSA DITEMUI MENINGGAL DUNIA, DUA MASIH HILANG DI TANJUNG LOMPAT
BOT PENUMPANG BAWA LEBIH MUATAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
DUA VESEL DITAHAN DISYAKI LAKUKAN AKTIVITI KAPAL KE KAPAL TANPA KEBENARAN
MARITIM MALAYSIA - MET MALAYSIA PERKUKUH SINERGI DEMI KESELAMATAN PERAIRAN MALAYSIA
PUTRAJAYA, 7 September — Keselamatan di laut memerlukan lebih daripada kekuatan aset dan kesiapsiagaan anggota. Ketepatan maklumat cuaca dan keadaan laut turut menjadi elemen penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu operasi maritim.
Atas kepentingan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kunjungan hormat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menyambut delegasi METMalaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham bin Mohd Anip.
Turut mengiringi beliau dalam pertemuan tersebut ialah Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob.
Menurut Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli, Pertemuan berkenaan menjadi platform kedua-dua agensi bertukar pandangan serta meneroka ruang kerjasama strategik, khususnya dalam perkongsian data dan maklumat meteorologi bagi menyokong operasi penguatkuasaan, keselamatan maritim serta mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara.
"Maklumat ramalan dan amaran cuaca yang tepat serta pantas amat penting bagi membantu Maritim Malaysia merancang operasi, menilai risiko dan meningkatkan kesiapsiagaan, khususnya dalam melaksanakan operasi CARILAMAT ketika berdepan perubahan serta keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Tambahnya lagi, sinergi Maritim Malaysia dan METMalaysia ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh keupayaan negara, sekali gus memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan sektor maritim Malaysia sentiasa dilindungi.

















.svg.png)

