KUALA KURAU, 19 JUN – Sebanyak 1,742 unit bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM180 ribu telah dilupuskan hari ini selepas mendapat perintah mahkamah untuk pelupusan secara musnah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman berkata,pelupusan itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian setelah peralatan tersebut dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau sepanjang tahun 2024.
Beliau turut berkata, bubu naga merupakan peralatan penangkapan ikan yang bersifat tidak selektif serta memerangkap pelbagai spesies termasuk anak ikan dan hidupan marin terancam.
“Penggunaan bubu naga menjadi pilihan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia menjana pendapatan sangat menguntungkan tanpa memikirkan kesan pada jangka masa panjang terhadap ekosistem laut,” jelas beliau.
Tegas beliau, tindakan tegas akan terus diambil dan rondaan penguatkuasaan akan diperhebat bagi membanteras penggunaan alat tangkapan haram itu.
“Kami komited untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan bubu naga di perairan Kuala Kurau. Mana-mana individu yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan atau membenarkan dikendalikan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran sah.
“Mereka juga boleh disiasat di bawah Seksyen 11(3)(b) akta sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen sah,” tegas beliau.
Tambah Mohd Hairil, pelupusan ini bukan sahaja langkah penguatkuasaan tetapi juga sebagai mesej jelas kepada komuniti pesisir bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan peralatan menangkap ikan yang boleh merosakkan sumber laut negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan pengamal media yang hadir dan berharap liputan ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat, agar generasi akan datang tidak mewarisi kemusnahan ekosistem akibat ketamakan pada hari ini.
41 PATI DIPENJARA, DUA LAGI DIHADAPKAN ATAS PERTUDUHAN ATIPSOM 2007
PELAKSANAAN OP MARDOF SABAH BUKTI SINERGI MARITIM MALAYSIA DAN DOF
MARITIM MALAYSIA LAKSANAKAN MEDEVAC PEKERJA RESORT DI SEMPORNA
PENERIMAAN AW189 PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA
MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM
PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA
KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS
EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026
SEMARAK BULAN KEMERDEKAAN MENERUSI TAYANGAN KHAS OPS HELANG
PUTRAJAYA, 14 Ogos — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan menerusi penyertaan dalam pameran khas dan Sesi Tayangan Khas Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang di Pejabat Peguam Negara (AGC - Attorney-General's Chambers), Putrajaya.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran pelakon tanah air Adlin Aman Ramlie, yang membintangi filem tersebut, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme bersama warga AGC dan Maritim Malaysia.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh.
Beliau berkata program berkenaan mencerminkan hubungan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan pihak perundangan dalam memastikan kejayaan operasi penguatkuasaan dapat diteruskan melalui tindakan perundangan yang berkesan.
“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini menuntut pengorbanan serta ketegasan dalam memelihara undang-undang. Hubungan kukuh antara Maritim Malaysia dan AGC amat berharga bagi memastikan setiap kejayaan operasi dapat diterjemahkan kepada tindakan perundangan yang berkesan," katanya.
Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan filem aksi pengembaraan Malaysia arahan Allahyarham Pitt Hanif yang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 2023.
Filem berkenaan mengangkat kisah operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia, termasuk keberanian, kecekapan dan cabaran anggota dalam melaksanakan amanah di tengah samudera bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
Selain tayangan khas, pameran Maritim Malaysia memberi peluang kepada warga AGC mengenali dengan lebih dekat peranan, fungsi dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim serta usaha menjaga kedaulatan perairan negara.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan warga AGC, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan meningkatkan penghargaan terhadap pengorbanan wira-wira samudera yang sentiasa bersiap siaga melindungi perairan negara.















.svg.png)

