SANDAKAN, 14 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan dua cubaan rentas sempadan dari Filipina dalam operasi berasingan di perairan timur laut Pulau Berhala, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain memaklumkan, dalam insiden pertama sekitar pukul 11.49 pagi, Kapal Maritim PINTAR (KM PINTAR) mengesan sebuah vesel mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala yang dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke perairan Malaysia.
Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar di bawah lesen kargo itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong, terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berumur antara lapan hingga 70 tahun. Majoriti penumpang adalah bukan warganegara dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Lebih mengejutkan, salah seorang penumpang cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai, namun cubaan itu gagal apabila pegawai bertugas bertindak tegas menolaknya dan merampas wang tersebut sebagai bahan bukti.
Vesel dan semua penumpang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan pada pukul 2.53 petang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam operasi berasingan pada hari yang sama sekitar pukul 12.00 tengah hari, sebuah lagi vesel tanpa nombor pendaftaran yang digelar sebagai ‘bot hantu’ telah dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Mengulas lanjut, Suhairy turut berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
Paling mengejutkan, pemeriksaan lanjut menemui 12 tong jerrycan berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, selain 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama bot bagi menggerakkan tiga enjin luar 250 kuasa kuda. Bahan api ini dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang alik antara Malaysia dan Filipina.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk bot tidak berdaftar dan tidak dilesenkan (Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002) serta membawa petrol tanpa permit sah (Akta Kawalan Bekalan 1961).
“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar, tanpa sebarang ciri keselamatan. Bot terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti rentas sempadan secara senyap,” tegas beliau lagi.
Kesemua suspek serta vesel telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyeludupan, pemerdagangan manusia atau pencerobohan.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

