KUANTAN, 29 Oktober - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menahan sebuat bot nelayan tempatan kelas C disyaki telah melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran pada jarak lebih kurang 8.3 batu nautika timur dari daratan Nenasi sekitar jam 3.40 petang, Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, bot nelayan tersebut diperiksa dan ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda oleh bot pemintas Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Makmur di perairan Pahang. Tangkapan adalah hasil aduan dan kerjasama rapat komuniti maritim setempat bahawa terdapat sebuah bot nelayan tempatan menceroboh kawasan pesisir pantai dan menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran iaitu menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.
Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong warga Myanmar berumur dalam lingkungan 19 hingga 31 tahun dan kesemua kru tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Bot dan kesemua kru bersama peralatan menangkap ikan termasuk hasil laut anggaran 4500 kilogram dipercayai baru ditangkap telah ditahan dan diiringi ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
Bot tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Maritim Malaysia akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.
Maritim Malaysia juga mengingatkan komuniti maritim di Perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan perairan aman dan sejahtera.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
![]()
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR
LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING
MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING
10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA
ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH
MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN
15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS
"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA
PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.
“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.
Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.
Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.
Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.
Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.
Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.














.svg.png)

