KUALA PERLIS, 8 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) menahan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika barat Pantai Kuala Perlis, lewat petang semalam.
Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, penahanan tersebut dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Aman dan Op Tiris, selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah sampan kayu dalam keadaan mencurigakan dipercayai bergerak dari arah sempadan negara jiran menuju ke Kuala Perlis.
Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, sampan berkenaan bertindak memecut melarikan diri ke arah daratan.
“Dua lelaki yang dipercayai tekong dan awak-awak kemudiannya bertindak terjun ke dalam kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut terhadap sampan berkenaan menemukan lapan individu warga Myanmar terdiri daripada empat wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.
Kesemua individu berkenaan dipercayai merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang disyaki memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak dibenarkan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan berkaitan kemasukan dan keberadaan di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta penggunaan laluan yang tidak dibenarkan atau tidak diwartakan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sampan berkenaan dianggarkan melebihi RM17,000. Kesemua PATI yang ditahan bersama sampan berkenaan telah dibawa ke IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” jelasnya.
Maritim Malaysia kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan rondaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan perairan berhampiran sempadan negara.
Sebarang cubaan menjadikan perairan negara sebagai laluan bagi aktiviti penyeludupan migran dan kemasukan PATI tidak akan dikompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, penyeludupan migran atau jenayah maritim di perairan Perlis kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau talian kecemasan 999.
MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN
MARITIM MALAYSIA 'KUNCI' PERAIRAN PERLIS, CUBAAN SELUDUP PATI TUMPAS
VESEL DITAHAN, GUNA MATA PUKAT KURANG 38 MILIMETER, TIADA DOKUMEN SAH
RPAS | MALAYSIA DAN AUSTRALIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MENERUSI PEMETERAIAN MOU
VESEL NELAYAN LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA
MARITIM NEGERI PERAK TAHAN DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN ATAS KESALAHAN AKTA PERIKANAN DAN AKTA IMIGRESEN
MANGSA TERAKHIR OPERASI CARILAMAT TANJUNG LOMPAT DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA, OPERASI DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA RAMPAS LEBIH 600 KATRIJ VAPE DISYAKI DADAH 'PIU PIU' DI SENGGARANG
SAEX THAMAL 74/2026 : MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN PERAIRAN MALAYSIA
SONGKHLA, 8 September — Kedaulatan dan keselamatan perairan sempadan terus diperkukuh menerusi kerjasama penguatkuasaan maritim di antara Malaysia – Thailand apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyertai Eksesais SEAEX THAMAL 74/2026 yang berlangsung di Songkhla, Thailand.
Majlis pembukaan eksesais disempurnakan Commander 2nd Naval Area Command, Royal Thai Navy (RTN) merangkap Thailand Joint Chairman (TJC), Rear Admiral Pisit Jaturatkornpat, hari ini.
Turut hadir mengetuai delegasi Malaysia ialah Panglima Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merangkap Malaysia Joint Chairman (MJC), Laksamana Muda Dato’ Azman bin Rabani, manakala delegasi Maritim Malaysia diketuai Pegawai Memerintah KM AMANAH, Leftenan Komander Maritim Nor Fadhli bin Abu Bakar @ Arifin.
Eksesais yang berlangsung dari 6 hingga 12 September itu, merupakan platform operasi bersepadu yang melibatkan agensi penguat kuasa dan pertahanan maritim kedua-dua negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan menangani cabaran keselamatan di perairan sempadan Malaysia – Thailand.
Di pihak Malaysia, eksesais ini melibatkan Maritim Malaysia, TLDM dan Pasukan Polis Marin (PPM), manakala Thailand disertai Royal Thai Navy (RTN), Royal Thai Marine Police (RTMP) dan Thai-Maritime Enforcement Command Center (Thai-MECC).
Fokus operasi meliputi perairan sempadan Malaysia – Thailand di Laut China Selatan, Combined Patrol Area (CPA) Narathiwat/Kelantan dan Teluk Siam, dengan penglibatan aset maritim kedua-dua negara.
Antara aset yang terlibat ialah KM AMANAH (Maritim Malaysia), KD HANDALAN dan KD SRI SABAH (TLDM), PA6 (PPM), HTMS THAYANCHON dan PGM 995 (RTN), RTMP 817 serta PGM 111 (Thai-MECC).
Kemuncak operasi turut menyaksikan aset maritim Malaysia dan Thailand belayar bersama pada 9 September 2026 dari 2nd Naval Area Command (2nd NAC), Songkhla menuju ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam eksesais berskala besar ini memperlihatkan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, kerjasama rentas sempadan dan keupayaan penguatkuasaan maritim, khususnya dalam memastikan perairan Malaysia sentiasa selamat, aman dan terkawal.













.svg.png)

