KUALA TERENGGANU, 4 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Terengganu telah menahan dua buah bot bersama sebuah platform yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dalam satu operasi penguatkuasaan Operasi Iman, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan bersama sebuah platform yang ditunda pada jarak lebih kurang 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong sekitar jam 6 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta diatasnya, manakala sebuah lagi bot yang mengiringi aktiviti penundaan tersebut didapati beroperasi tanpa mempunyai lesen sah oleh Jabatan Laut,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi, platform tersebut dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan apabila dijadikan lokasi penggambaran oleh seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang diletakkan di atas platform terapung berkenaan. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain.
Menurut beliau, kedua-dua bot terbabit didapati membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang masing-masing. Kesemua yang ditahan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang, kesemuanya warga tempatan.
“Kesemua bot, kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2.00 pagi hari ini untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya lagi.
Kepten Maritim Hamiludin menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa serius dalam memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
“Maritim Malaysia menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mestilah dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” tambah beliau.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu supaya segera menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.
41 PATI DIPENJARA, DUA LAGI DIHADAPKAN ATAS PERTUDUHAN ATIPSOM 2007
PELAKSANAAN OP MARDOF SABAH BUKTI SINERGI MARITIM MALAYSIA DAN DOF
MARITIM MALAYSIA LAKSANAKAN MEDEVAC PEKERJA RESORT DI SEMPORNA
PENERIMAAN AW189 PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA
MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM
PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA
KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS
EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026
SEMARAK BULAN KEMERDEKAAN MENERUSI TAYANGAN KHAS OPS HELANG
PUTRAJAYA, 14 Ogos — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan menerusi penyertaan dalam pameran khas dan Sesi Tayangan Khas Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang di Pejabat Peguam Negara (AGC - Attorney-General's Chambers), Putrajaya.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran pelakon tanah air Adlin Aman Ramlie, yang membintangi filem tersebut, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme bersama warga AGC dan Maritim Malaysia.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh.
Beliau berkata program berkenaan mencerminkan hubungan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan pihak perundangan dalam memastikan kejayaan operasi penguatkuasaan dapat diteruskan melalui tindakan perundangan yang berkesan.
“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini menuntut pengorbanan serta ketegasan dalam memelihara undang-undang. Hubungan kukuh antara Maritim Malaysia dan AGC amat berharga bagi memastikan setiap kejayaan operasi dapat diterjemahkan kepada tindakan perundangan yang berkesan," katanya.
Coast Guard Malaysia: Ops Helang merupakan filem aksi pengembaraan Malaysia arahan Allahyarham Pitt Hanif yang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 2023.
Filem berkenaan mengangkat kisah operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia, termasuk keberanian, kecekapan dan cabaran anggota dalam melaksanakan amanah di tengah samudera bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
Selain tayangan khas, pameran Maritim Malaysia memberi peluang kepada warga AGC mengenali dengan lebih dekat peranan, fungsi dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan undang-undang, keselamatan maritim serta usaha menjaga kedaulatan perairan negara.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan warga AGC, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan meningkatkan penghargaan terhadap pengorbanan wira-wira samudera yang sentiasa bersiap siaga melindungi perairan negara.
















.svg.png)

