MIRI, 3 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C yang disyaki melakukan aktiviti perikanan pada jarak lebih kurang 5 batu nautika utara Kuala Baram, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi bin Othman berkata, bot tersebut cuba melarikan diri dikejar dari diperiksa, namun telah dipintas dan ditahan 10 minit kemudiannya oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri pada lebih kurang jam 7.40 pagi semalam.
Hasil pemeriksaan ke atas bot tidak menjumpai sebarang peralatan menangkap ikan seperti pukat tunda dan tali tunda. Anggota penguat kuasa mengesyaki kru bot telah bertindak melepaskan tali pukat bagi mengelakkan dari ditahan, sebaik menyedari kehadiran aset Maritim.
Bot tersebut kemudiannya diarahkan untuk berpatah semula ke posisi di mana penguat kuasa menjumpai sebahagian pukat terapung yang dipercayai milik mereka.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot disyaki melakukan aktiviti perikanan kurang dari 7 batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki. Bot nelayan tempatan itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama empat kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 27 hingga 65 tahun.
“Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 iaitu memusnahkan keterangan yang menuduh," tambah Fauzi.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang Maritim di perairan Negara.
Orang ramai disaran menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

