BINTULU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Bintulu berjaya melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal dagang gas asli cecair (Liquefied Natural Gas– LNG) yang mengalami simptom apendisitis pada kedudukan kira-kira 15 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menerima emel daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya berhubung permohonan bantuan kecemasan bagi memindahkan seorang kru kapal yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Susulan itu, aset Maritim Malaysia, KILAT 44, yang sedang melaksanakan rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi MEDEVAC dengan segera.
Sebaik tiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia telah memberikan bantuan awal kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke jeti berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa dikenali sebagai John Michael, 28 tahun, warganegara Filipina, sebelum diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pelabuhan Bintulu dan seterusnya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Kemena untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, kejayaan operasi itu membuktikan kesiapsiagaan aset dan anggota Maritim Malaysia dalam memberikan tindak balas pantas terhadap sebarang kecemasan di laut, khususnya yang membabitkan keselamatan nyawa komuniti maritim.
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.
Maritim Malaysia akan terus komited memperkukuh keupayaan operasi mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan maritim bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti maritim sentiasa terpelihara.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.













.svg.png)

