SANDAKAN, 17 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi selepas menahan sebuah bot dalam satu operasi di perairan Sungai Sabine, petang semalam.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Suhairy bin Hussain berkata, kejayaan itu adalah hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh Bot Peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0. Bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.05 batu nautika barat laut Sungai Sabine sebelum dipintas untuk tujuan pemeriksaan.
"Semasa pasukan operasi menghampiri bot tersebut, dua lelaki yang dipercayai merupakan kru bot bertindak terjun ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke dalam hutan bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan 18 jerican yang disyaki mengandungi minyak petrol bersubsidi dengan anggaran keseluruhan sebanyak 360 liter. Turut ditemukan ialah dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 40 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda," katanya.
Menurut beliau, bot bersama muatan tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran yang sah. Selain itu, bot berkenaan turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 12 Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana menyalahgunakan lesen dengan membawa barangan kargo.
Kesemua barang rampasan bersama bot dianggarkan bernilai RM23,300.00 dan telah dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Suhairy berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan pada waktu siang membuktikan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa. Bagaimanapun, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan keselamatan negara serta menyebabkan ketirisan barang kawalan bersubsidi.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," katanya.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.













.svg.png)

