14
Rab, Okt

Grid List

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN

MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN

BOT FIBER TIDAK BERDAFTAR, TIGA PATI DITAHAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN PULAU KETAM

PELABUHAN KLANG, 14 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber tidak berdaftar bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan secara menyalahi undang-undang di perairan Pulau Ketam, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di bawah Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2 di kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika utara Pulau Klang.

Menurut beliau, bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Indonesia berusia 26 tahun bersama dua awak-awak, masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar yang berusia antara 26 hingga 32 tahun. Ketiga-tiga individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bot tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kelong ikan di Pulau Ketam. Tekong turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan vesel, sekali gus disyaki melanggar peruntukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Kesemua suspek bersama bot tersebut telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana mengendalikan bot yang tidak berdaftar serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya aktiviti perikanan haram dan kemasukan warga asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber perikanan negara.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera.

Grid List

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026

LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.

Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.

Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.

Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.

Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC