LANGKAWI, 21 FEBRUARI – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang pelancong warga China yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu berakhir dengan penemuan mayat mangsa pagi ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, mayat mangsa lelaki berusia 49 tahun itu berjaya ditemui pasukan penyelamat di sekitar kawasan pencarian selepas operasi memasuki hari kedua.
“Mayat mangsa ditemui pada pukul 9.45 pagi. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Ming Fei Lan, berusia 49 tahun dan berasal dari Shanghai, China dilaporkan hilang petang semalam oleh seorang kakitangan sebuah resort berhampiran selepas menghubungi talian kecemasan 999 pada pukul 7.35 malam.
Sebaik menerima maklumat berkenaan, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi CARILAMAT pada pukul 9.30 malam dengan menggerakkan Bot PETIR 81 ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal.
“Operasi ditangguhkan pada hari pertama selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk akibat keadaan cuaca semakin gelap.”
“Operasi disambung semula pada pukul 7.30 pagi tadi dengan sektor pencarian diperluaskan berdasarkan analisis arus dan unjuran hanyutan,” katanya lagi.
Berikutan penemuan tersebut, Operasi CARILAMAT secara rasmi ditamatkan pada pukul 11.30 pagi setelah semua aset dan anggota disahkan selamat serta tiada lagi keperluan pencarian di lokasi kejadian.
Romli dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai khususnya pelancong yang berkunjung ke kawasan pantai agar sentiasa berwaspada, menilai keadaan cuaca dan arus sebelum melakukan aktiviti air serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk PPM, JBPM, APM, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), komuniti maritim serta individu yang membantu sepanjang pelaksanaan operasi CARILAMAT sehingga operasi berjaya diselesaikan.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

