PELABUHAN KLANG, 3 JANUARI – Sebuah bot penumpang bersama seorang penumpang warga asing tanpa dokumen pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam satu operasi petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan 1.3 batu nautika barat Pelabuhan Klang oleh bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan rondaan OP EHSAN dan OP TIRIS di perairan Selangor.
“Kira-kira pukul 5.50 petang, sepasukan penguat kuasa Maritim Malaysia telah memeriksa sebuah bot penumpang yang sarat membawa penumpang dari Jeti Awam, Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam,” jelas beliau.
Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang warga tempatan berusia 28 tahun yang bertindak sebagai nakhoda.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, bot berkenaan melanggar syarat lesen dengan membawa lebihan penumpang iaitu seramai 42 orang, berbanding syarat lesen dibenarkan membawa 34 penumpang,” kata Muhaimin.
Tambah beliau, seorang penumpang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen, manakala penumpang warga asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot, kru dan penumpang warga asing berkenaan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan, pengusaha bot penumpang perlu mematuhi semua syarat keselamatan dan peraturan operasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam di laut,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

