KUANTAN, 18 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang memperhebatkan kawalan keselamatan perairan negeri ini dengan kesiapsiagaan penuh aset dan anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya melibatkan penguatkuasaan undang-undang maritim dan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, seramai 259 pegawai dan anggota diatur gerak dengan sokongan kapal serta bot yang sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sepanjang tempoh monsun ini.
Menurutnya, tumpuan operasi bukan sahaja melibatkan penguatkuasaan dan CARILAMAT, malah merangkumi bantuan pemindahan perubatan (MEDEVAC) serta sokongan pengurusan bencana banjir, khususnya di komuniti nelayan, kawasan pesisir pantai dan pulau yang berisiko terjejas.
“Maritim Malaysia Negeri Pahang bersedia memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan melibatkan nyawa dan keselamatan orang awam ketika monsun ini,” katanya lagi.
Beliau juga menasihati komuniti maritim serta penduduk di kawasan pulau dan pesisir pantai agar sentiasa berwaspada dengan memantau ramalan cuaca dan bersedia bagi menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu, termasuk keadaan laut bergelora, ombak besar, angin kencang dan arus kuat.
Dalam pada itu, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta mengelakkan aktiviti rekreasi di laut sepanjang musim tengkujuh demi keselamatan nyawa.
“Untuk rekod sepanjang Januari hingga November tahun ini, seramai 15 orang telah diselamatkan dan hanya dua mangsa dilaporkan maut dalam insiden di laut, oleh itu, Maritim Negeri Pahang menasihati semua pihak agar sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh ini dengan meningkatkan langkah-langkah 'prevention' SAR bagi mengurangkan angka tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, para pengusaha resort dan hotel dinasihatkan agar memainkan peranan aktif dengan menasihati pengunjung, terutamanya kepada pelancong dari luar negara agar tidak melakukan aktiviti laut dan berada di kawasan pantai ketika cuaca buruk.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mandi di kawasan pantai yang dikenal pasti mempunyai kawah air atau arus kuat dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya.
Maritim Negeri Pahang sentiasa komitmed untuk memastikan keselamatan perairan negara serta kesejahteraan masyarakat sepanjang Monsun Timur Laut ini berada di tahap tertinggi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-571 7345 atau 999 untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

