DARO, 12 DISEMBER – Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tercampak dari bot fiber yang dinaikinya bersama seorang lagi rakan akibat dipukul ombak besar, semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku di Perairan Tanjung Sirik, Daro kira-kira pada jam 9.00 pagi. Namun rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai yang berhampiran.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Anak Juing berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Matu Daro yang menerima laporan daripada mangsa yang terselamat.
Berikutan itu, MRSC Kuching segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.
Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Bruit.
“Operasi pencarian turut dibantu oleh anggota serta aset dari agensi sahabat dan penduduk kampung telah berjaya menemukan bot fiber milik mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Kampung Tekajong manakala operasi mencari mangsa yang hilang masih diteruskan” katanya lagi.
Operasi CARILAMAT ditangguhkan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan hari semakin gelap dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia turut menasihatkan semua komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, serta sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan undang-undang pelayaran bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Sebarang maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis melalui talian 011-3572 8765 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432 544) untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

