KUALA LINGGI, 9 DISEMBER — Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, telah melaksanakan tinjauan operasi di beberapa lokasi strategik termasuk Remote Sensor Site (RSS) Pulau Undan, tapak cadangan penubuhan pos penguatkuasaan di Pulau Besar, sebelum meneruskan tinjauan sehingga ke Jeti Nelayan Sungai Pelek, Sepang sejak semalam yang berakhir hari ini.
Rondaan itu merangkumi kawasan tanggungjawab dari Kuala Kesang hingga Kuala Sepang sejauh lebih 117 kilometer dengan keluasan kawasan operasi hampir 2,860 kilometer persegi.
Pelaksanaan rondaan ini turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti kawasan rondaan serta kekangan yang dihadapi oleh anggota semasa melaksanakan tugas di laut, merangkumi keperluan aset, keadaan cuaca, risiko keselamatan, keupayaan operasi dan infrastuktur logistik.
Inisiatif ini juga selaras dengan Teras 7 Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, iaitu Kepimpinan Proaktif dan Inklusif serta Kesiapsagaan Aset, bagi memastikan perancangan dan kesiapsiagaan operasi tahun 2026 dilaksanakan secara komprehensif.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Negeri, Raja Noorazmi bin Raja Ismail, serta Timbalan Pengarah Siasatan Negeri, Komander Maritim Abd Hafis bin Hussin.
Dalam masa yang sama, anggota turut melaksanakan aktiviti Preventive Search and Rescue (Preventive SAR) dengan mengedarkan pelekat khas mengandungi info keselamatan, di jeti-jeti yang dikunjungi sebagai usaha bagi memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti maritim.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penilaian operasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap optimum serta menjamin kesejahteraan komuniti setempat.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

