LUMUT, 27 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak semalam telah menyerahkan seorang lelaki warga Indonesia yang diselamatkan di perairan negeri itu kepada wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur selepas proses pengesahan identiti dan dokumentasi selesai dijalankan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob memaklumkan, pada 23 November lalu, kru bot nelayan PKFB 1520 telah menyelamatkan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia yang hanyut berpaut pada pelampung dan membawanya ke Jeti Pantai Remis untuk diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM kemudian menyerahkan mangsa kepada Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut.
Bahagian Siasatan Maritim Negeri Perak turut memaklumkan kejadian berkenaan kepada KBRI Kuala Lumpur melalui emel dan panggilan telefon bagi menyelaras proses serah terima.
Proses penyerahan rasmi kepada wakil KBRI dijalankan dengan kehadiran Akhmad Baihaqie (Minister Counsellor), Muiz Mediawan (Staf Fungsi Konsuler) dan Tubagus Drajat Sujai (Staf Kerumahtanggaan).
Penyerahan ini mencerminkan hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan di perairan kedua-dua negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.
















.svg.png)

