PASIR PUTEH, 20 APRIL – Maritim Negeri Kelantan bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan Operasi Bersama OP MARDOF di perairan Negeri Kelantan bagi membanteras kegiatan haram yang melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta APMM 2004.
Operasi strategik ini dilaksanakan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM), khususnya kawasan tanggungjawab Maritim Negeri Kelantan.
OP MARDOF memberi tumpuan utama kepada isu pencerobohan oleh Vesel Nelayan Asing (VNA) yang kerap berlaku di perairan negara. Operasi pada kali ini menumpukan pemeriksaan di jeti bagi memeriksa dan memantau ketat sebarang pelanggaran syarat lesen termasuk pengubahsuaian tidak sah ke atas tangki minyak, dan penggunaan peralatan tangkapan yang tidak mematuhi piawaian.
Seramai 30 anggota gabungan dari APMM dan DOF yang diketuai oleh Komander Maritim Amiludin bin Yenggah Timbalan Pengarah Operasi Negeri telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di jeti nelayan di kawasan Tok Bali. Pemeriksaan tersebut bertujuan memastikan pematuhan nelayan tempatan terhadap undang-undang perikanan dan keselamatan maritim, termasuk semakan dokumen vesel, peralatan tangkapan, serta pengaktifan sistem Mobile Transceiver Unit (MTU) yang wajib dipasang pada Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C dan C2.
Sepanjang operasi ini, sebanyak 26 buah vesel nelayan berjaya diperiksa oleh pasukan operasi bersama. Hasilnya pemeriksaan, satu tangkapan dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen vesel, manakala satu kesalahan dikenakan kompaun kerana gagal mengaktifkan sistem MTU. Selain itu, tiga sitaan dilakukan ke atas pukat mata keroncong yang tidak mematuhi saiz mata jaring minimum 38 milimeter, atau tidak mengikut saiz yang ditetapkan undang-undang.
Kerjasama erat antara APMM dan DOF dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang maritim dijadikan sebagai pendekatan dalam meningkatkan keberkesanan operasi dan mengekang sebarang bentuk kegiatan haram di perairan negara.
OP MARDOF mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara dan memastikan kelestarian sumber marin. Kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi sistem pengawasan maritim negara bagi menangani pelbagai ancaman terhadap keselamatan dan sumber perikanan Malaysia.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

