PUTRAJAYA, 10 APRIL – Dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau, Malaysia dan Filipina baru-baru ini mengadakan satu sesi pertemuan khas bagi membincangkan langkah-langkah mempertingkatkan keselamatan perairan dan menangani ancaman rentas sempadan.
Pertemuan ini berlangsung bersempena lawatan ulung kapal peronda luar pesisir BRP Gabriela Silang (OPV-8301) milik Philippine Coast Guard (PCG) ke Malaysia yang diadakan dari 8 hingga 10 April 2025.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, telah mempengerusikan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Rear Admiral Hostillo Arturo E. Cornelio dari PCG, turut membincangkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim, pembangunan modal insan, serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut Sulu dan Laut Celebes.
Menurut Datuk Saiful, pertemuan yang berlangsung selama satu jam itu menghasilkan beberapa kata sepakat yang signifikan untuk memperkukuhkan lagi diplomasi maritim di antara kedua-dua buah negara.
“Kerjasama serantau yang mantap adalah kunci untuk menangani pelbagai cabaran maritim, terutamanya isu pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ancaman keselamatan bukan konvensional”, katanya.
Turut serta dalam pertemuan tersebut, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kepten Maritim Mohammad Nasir bin Man dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli serta pegawai-pegawai PCG.
Selain daripada pertemuan tersebut, delegasi PCG turut mengadakan latihan Table Top Exercise (TTX) di atas kapal BRP Gabriela Silang, yang melibatkan Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) Putrajaya dan MRCC Filipina.
Latihan yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim, bertujuan menilai keupayaan respons dan memperkukuh jaringan komunikasi serta prosedur operasi maritim di antara kedua-dua buah negara.
Lawatan ini juga menyaksikan delegasi PCG mengadakan lawatan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Para delegasi telah diberikan taklimat mengenai operasi, aset serta demonstrasi penyelamatan oleh Rescue Swimmer.
Terdahulu, kapal BRP Gabriela Silang telah disambut ketibaannya pada 8 April lalu dengan iringan muzik patriotik oleh pasukan pancaragam Maritim Malaysia di Port Klang Cruise Terminal (PKCT).
Sambutan ini menandakan permulaan lawatan yang penting ini dalam memperkukuh sinergi maritim antara Malaysia dan Filipina.
Kerjasama seperti ini adalah bukti komitmen kedua-dua negara dalam menjaga keselamatan perairan serantau dan memastikan kelestarian sumber laut serta menjamin keamanan bagi generasi akan datang.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

