ROMPIN, 19 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menyelamatkan empat pelancong dan seorang tekong selepas bot yang mereka naiki terkandas di Pulau Semilang akibat cuaca buruk, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab memaklumkan, kejadian berkenaan bermula apabila angin kencang dan laut bergelora menghalang bot tersebut untuk kembali ke Endau, Rompin. Situasi berkenaan telah memaksa mereka untuk berlindung di Pulau Semilang sambil menunggu bantuan tiba.
“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 3.00 petang.
“Susulan itu, bot PENGGALANG 14 dikerahkan ke lokasi pada pukul 4.40 petang. Namun, keadaan cuaca yang semakin buruk memaksa bot terpaksa berpatah balik,” jelas beliau.
Berikutan itu, penguat kuasa Maritim Malaysia diarahkan untuk menggunakan bot PERKASA 1246 bagi tujuan bantuan keselamatan.
Mangsa yang diselamatkan ialah tekong bot, Lee Nyap @ Lee Nyip Fan, 82, serta pelancong Khoo Chin Howa, 61, dan Ooi Ping Yap, 63, yang merupakan warga tempatan. Turut diselamatkan ialah warga China, Wang Jinpeng, 60, dan warga Thailand, Chanisara Naewsupab, 25. Mereka selamat tiba di Pos Maritim Teluk Gading sekitar pukul 9.00 malam.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti pemancing agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti kecemasan peribadi seperti Personal Locator Beacon (PLB) semasa melakukan aktiviti di laut.
Mereka juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.
















.svg.png)

