KUDAT, 10 FEBRUARI – Cubaan tiga warga Filipina untuk menyeludup keluar barang kawalan dari perairan negara berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di perairan Kudat, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan Unit Perisikan Zon Maritim Kudat yang mengesan aktiviti pemunggahan minyak dan barang kawalan di sekitar perairan tersebut sekitar pukul 12.13 tengah malam tersebut.
Bertindak atas maklumat tersebut, aset rondaan Maritim Malaysia segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan. Setibanya di lokasi berkenaan, sebuah bot mencurigakan dikesan berada di kedudukan kira-kira 4.2 batu nautika timur laut Pulau Tiga dan dipercayai sedang menuju ke perairan sempadan Malaysia-Filipina.
Beliau berkata, pihaknya segera bertindak memintas bot berkenaan dan melakukan pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa enam tong berwarna biru berisi minyak petrol, 100 pek tepung gandum, dan 120 pek gula yang dipercayai untuk diseludup keluar.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan merupakan warga Filipina berusia antara 20 hingga 21 tahun dan ketiga-tiga mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.
Suspek bersama bot dan kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk tindakan lanjut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan, termasuk bot yang digunakan, adalah lebih RM21 ribu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat, khususnya komuniti maritim di kawasan perairan Kudat, agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

