KLANG, 5 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF) telah menutup tirai OPERASI REDBACK ke-19 hari ini selepas empat hari dilaksanakan.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, sepanjang operasi ini dilaksanakan, pihak Maritim Malaysia bersama ABF telah menjalankan penguatkuasaan sehingga 118 batu nautika kawasan perairan dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang, Selangor.
Beliau memaklumkan, melalui operasi ini, sebanyak 60 pemeriksaan kapal dan bot telah dijalankan.
Daripada jumlah tersebut, 1 tangkapan berjaya dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah 5 batu nautika.
“Saya juga ingin memaklumkan, untuk empat tahun terkini, Maritim Malaysia telah merekodkan 29 kes tangkapan di bawah ATIPSOM 2007 dengan 5 kes pada tahun 2021, 13 kes pada tahun 2022, 4 kes bagi tahun 2023 dan 7 kes sehingga November tahun ini,”
“Melalui jumlah kes tangkapan yang dinyatakan tadi, ia membuktikan OPERASI REDBACK merupakan kerjasama strategik Maritim Malaysia dan ABF yang memberikan impak positif dalam membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan migran,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penutup OPERASI REDBACK ke-19 di sini hari ini.
Turut hadir sama, Counsellor of Australian Border Force, Australian High Commission, Superintendent Brooke Leung serta Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh.
Dalam pada itu, Zawawi turut memaklumkan dari Januari hingga November tahun ini, pihaknya turut berjaya merekodkan lebih 64 kes tangkapan melibatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara dengan jumlah individu ditahan adalah seramai 249 orang.
Selain PATI, Maritim Malaysia turut mencatatkan sejumlah 14 tangkapan melibatkan kes penyeludupan barangan kontrand iaitu rokok, dadah dan ketum dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1 juta bagi tahun 2024.
Selain operasi di laut, komponen komunikasi strategik turut menjadi fokus dengan penglibatan komuniti maritim di dua lokasi terpilih iaitu Kampung Nelayan Kelanang dan Kompleks Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Sepang Resort untuk OP REDBACK ke-19 ini.
Aktiviti seperti sesi dialog, pengagihan jaket keselamatan, dan pelekat talian kecemasan kepada nelayan telah dilaksanakan di kampung-kampung berkenaan untuk meningkatkan kesedaran komuniti di kawasan terbabit tentang ancaman jenayah seperti penyeludupan migran, dadah, dan barangan kontraban.
“Program ‘turun padang’ seperti ini juga dapat mendekatkan Maritim Malaysia dengan komuniti setempat di samping menjadikan mereka ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa seperti Maritim Malaysia dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara,” tambah beliau.
OPERASI REDBACK terhasil daripada Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 2011 antara kerajaan Malaysia dan Australia.
Inisiatif ini meliputi perkongsian maklumat pintar dan kepakaran, selain bengkel khas yang memfokuskan kepada pengukuhan keupayaan anggota Maritim Malaysia.
Dengan kejayaan ini, Maritim Malaysia dan ABF bertekad memperluas lagi kerjasama dalam operasi pada masa akan datang bagi memastikan Malaysia tidak dilabelkan sebagai hub jenayah rentas sempadan.
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR
LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG
MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING
MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING
10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA
ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH
MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN
15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS
"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA
PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.
“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.
Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.
Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.
Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.
Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.
Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.

















.svg.png)

