TAWAU, 26 JULAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran dan membawa muatan barang kawalan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, terdahulu kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0 telah menerima maklumat dari unit risikan mengenai sebuah bot kargo yang membawa muatan barang kawalan keluar dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira pukul 2.30 petang.
Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.35 batu nautika barat daya Jeti CIQ Tawau itu mendapati dua lelaki warga tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot tersebut.
Pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati bot terbabit telah melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.
Pada pukul 5.40 petang hari yang sama, berdasarkan maklumat unit risikan,
sebuah lagi bot tunda bersama sebuah bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di lokasi 0.25 batu nautika selatan Muara Sungai Bombalai.
Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut mendapati kedua-dua kapal sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel ‘ship to ship transfer’.
Pemeriksaan dokumentasi ke atas kru kedua-dua kapal yang terdiri dari seorang warga tempatan dan lima pemegang pasport warga Indonesia kesemuanya lelaki berumur di antara 34 hingga 44 mendapati kedua-dua kapal tersebut telah menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang permit kebenaran.
Selain itu juga seorang kru bot terbabit juga didapati tidak memiliki permit kerja yang sah semasa berada di bot tersebut.
Ketiga-tiga bot bersama muatan serta kesemua kru bot telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Kesemua barangan termasuk ketiga-tiga bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai membabitkan nilai rampasan keseluruhan lebih RM3.16 juta.
Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan NG999.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.
















.svg.png)

