KUALA PERLIS, 15 JULAI – Bagi mengelakkan daripada dikesan penguat kuasa Zon Maritim Kuala Perlis, individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab telah menukar modus operandi dengan menggunakan botol-botol minuman sebagai penanda lokasi pemasangan 40 set bubu naga di dua lokasi berasingan.
Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bubu naga ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP AMAN di perairan negara melalui penemuan objek berupa botol-botol minuman yang mencurigakan terapung di permukaan laut.
Pemeriksaan dilakukan dan didapati sebanyak 20 set bubu naga telah dipasang di kedudukan 1.22 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Ayer Hitam, Kedah tengah hari tadi.
Terdahulu turut ditemukan 20 set bubu naga di kedudukan 0.95 batu nautika daripada barat daya Kuala Sanglang, Perlis petang kelmarin sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan bubu naga yang dirampas sebanyak 40 set.
Untuk rekod, penanda kedudukan bubu naga sebelum ini menggunakan pancang-pancang kayu, namun setelah kerap dikesan oleh Maritim Malaysia, botol-botol minuman telah digunakan untuk mengaburi mata penguat kuasa.
Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM6 ribu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.
Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan di samping menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai yang lain.
Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara haram walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti itu dilihat terus aktif dilakukan.
Maritim Malaysia juga turut meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan kes seperti ini di talian kecemasan NG999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

