TANJUNG MANIS, 10 JUN – Dua bot tunda bersama tongkang ditahan lebih kurang 1.8 batu nautika dan 1.7 batu nautika selatan Tanjung Jerijeh awal pagi tadi kerana disyaki melakukan perlanggaran undang-undang di laut.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, pada jam lebih kurang 12.02 pagi bot ronda Zon Maritim Tanjung Manis dalam rondaan Op Permai dan Op Tiris telah mengesan dua bot tunda dan tongkang yang mencurigakan bergerak keluar daripada Muara Batang Rajang.
Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tunda tersebut mendapati terdapat empat kru tempatan dan tujuh kru warganegara India termasuk tekong berumur lingkungan 21 tahun hingga 64 tahun melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana disyaki tiada sijil penguntukan radas.
Bot tunda dan tongkang beserta kru ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut.
Laporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dilaut dan kegiatan yang mencurigakan termasuk kes-kes kecemasan atau kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 yang beroperasi 24 jam.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

















.svg.png)

