KUANTAN, 9 MEI – Maritim Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan kru warga asing tidak memiliki permit yang sah pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari timur Pulau Berhala, pagi semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab berkata, kapal ronda maritim sedang menjalankan rondaan OP MAKMUR dan OP TIRIS mengesan bot nelayan kelas C dalam keadaan mencurigakan seterusnya ditahan pada jam 9 pagi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru bot merupakan warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun dan terdapat 630 kilogram ikan campur turut ditemukan semasa pemeriksaan dilakukan.
Pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan untuk kelulusan menggajikan kru asing.
Kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999.