KUCHING, 6 MEI - Maritim Negeri Sarawak menahan sebuah vesel asing dipercayai dari Indonesia kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan barang kawalan berupa gula dan beras di Perairan Tanjung Datu Sarawak pada sekitar jam 8.10 malam Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, bertindak atas maklumat risikan, bot ronda Maritim Negeri Sarawak mengesan dan sekaligus menahan vesel itu di kedudukan sekitar 4.2 batu nautika Utara Sematan.
Hasil penggeledahan mendapati jumlah keseluruhan kru adalah tiga warga Indonesia termasuk tekong dalam lingkungan umur 29 hingga 50 tahun.
Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah lebih RM300 ribu.
Kesemua kru dan bot berkenaan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Laporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di laut dan kegiatan yang mencurigakan termasuklah kes-kes kecemasan atau insiden di laut secara terus ke talian MERS 999 untuk tindakan segera.