13
Mon, May

TIADA PERMIT KERJA, BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

KUANTAN, 12 MEI – Maritim Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukat tunda kelas C pada jarak lebih kurang 23 batu nautika dari timur perairan Kuala Pahang, sekitar jam 1.45 petang semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab dalam satu kenyataan memaklumkan, bot nelayan itu dikesan sedang bersauh ketika bot ronda maritim sedang menjalankan rondaan rutin OP MAKMUR dan OP TIRIS.

Hasil pemeriksaan, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur di antara 21 hingga 45 tahun.

Ketika penggeledahan pula terdapat sebanyak lebih kurang 1,100 kilogram hasil laut ditemukan di atas bot.

Bot itu disyaki melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 05 12 at 3.39.13 PM   WhatsApp Image 2024 05 12 at 3.39.14 PM 2   WhatsApp Image 2024 05 12 at 3.39.15 PM

BOT REKREASI BERSAMA LAPAN PENUMPANG DITAHAN

MIRI, 12 MEI – Zon Maritim Miri menahan sebuah bot rekreasi pada kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Kuala Baram kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952/60 iaitu melanggar syarat sah lesen semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, bot terbabit ditahan ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan rutin di perairan Miri, Sarawak.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati, bot rekreasi berkenaan dikendalikan oleh seorang nakhoda (Master) dan dua kru yang kesemuanya warga tempatan selain membawa tujuh penumpang juga warga Malaysia dan seorang warga Singapura.

Kesemua kru dan bot rekreasi itu diiring ke Jeti Marina Bay, Miri untuk tindakan lanjut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi secara terus melalui talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 05 12 at 3.21.21 PM

DSA & NATSEC ASIA 2024 | HAMPIR 7,000 PENGUNJUNG MELAWAT RERUAI MARITIM MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 9 MEI – Dianggarkan lebih 7,000 pengunjung telah melawati reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC) yang bermula sejak Isnin lalu.

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, program yang berakhir hari ini telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pemain industri keselamatan tempatan serta syarikat terkemuka luar negara seperti United Kingdom, China dan Perancis.

Malah usaha Maritim Malaysia mengetengahkan penggunaan teknologi realitii maya atau ‘Virtual Reality’ sempena DSA dan NATSEC 2024 turut menarik perhatian agensi penguat kuasa luar negara seperti Turkiye dan Belanda.

Agensi - agensi berkenaan menyatakan rasa kagum dan berhasrat untuk menggunakan teknologi seumpama itu untuk kegunaan latihan maya dan perkongsian maklumat kepada masyarakat berkaitan peranan dan tanggungjawab Agensi mereka kepada umum.

Dalam pada itu pameran DSA dan NATSEC 2024 turut membuka ruang kepada Maritim Malaysia dalam meningkatkan kerjasama antara agensi penguat kuasa luar negara melalui pertemuan bilateral yang diadakan sepanjang acara ini berlangsung.

Selain pemain industri keselamatan dan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara, reruai Maritim Malaysia turut menerima kehadiran Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tengku Mahkota Pahang, serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada Majlis Penutup Pameran DSA & NATSEC Asia 2024, Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengumumkan penganjuran Pameran DSA & NATSEC Asia 2026 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026.

 

Penutup DSA 2
 
Penutup DSA 4
 
Penutup DSA 3
 
Penutup DSA 5

 

ZON MARITIM KUALA KEDAH RAMPAS 45 SET BUBU NAGA

KUALA KEDAH, 11 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 45 set bubu naga dalam satu rondaan rutin Op Aman yang telah dijalankan di beberapa lokasi di perairan Sungai Limau, Yan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, rampasan ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemantauan rutin yang dilakukan oleh pihak Maritim Malaysia.

Semasa rondaan dilakukan, pihak Maritim Malaysia menemui beberapa pancang yang mencurigakan dipasang di kawasan berkenaan.

Setelah pemeriksaan ke atas kesemua pancang dilakukan, penggunaan pancang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa memandangkan pancang yang sama digunakan oleh pengusaha pukat hanyut.

Kesemua bubu naga yang dirampas yang dianggarkan bernilai hampir RM6 ribu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

KK BUBU 2
 
KK BUBU 3

DSA & NATSEC ASIA 2024 | PEROLEHAN EMPAT HELIKOPTER AW 189 BAKAL TINGKAT OPERASI UDARA MARITIM

KUALA LUMPUR, 8 MEI – Kesiapsiagaan keselamatan perairan negara bakal dipertingkatkan dengan termenterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 di sini hari ini.

Melalui MoU itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal memperoleh empat helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift tidak lama lagi.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, perolehan helikopter AW189 itu adalah bagi memenuhi keperluan Agensi dalam mempertingkatkan pemantauan udara dengan lebih meluas serta melaksanakan operasi CARILAMAT untuk jarak dan durasi yang panjang.

Jelas beliau, tugasan ini kini dilakukan oleh enam pesawat milik Agensi yang terdiri daripada dua helikopter jenis AW139 sedia ada, tiga helikopter jenis AS365 N3 Dauphin dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan majlis MoU itu yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi dan wakil Pengarah Urusan Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn. Bhd, Shamsul Kamar Samsuddin.

Turut hadir menyaksikan majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Abdul Gapar bin Abu Bakar.

Datuk Saiful menjelaskan, perolehan kesemua helikopter yang bernilai hampir RM530 juta itu bakal dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters adalah kerana pesawat ini mempunyai keupayaan transmisi utama untuk beroperasi tanpa minyak selama 50 minit dan Unit Kuasa Tambahan yang tersedia.

Jelas beliau lagi, AW189 telah menjadi helikopter kategori super-medium yang paling berjaya di dunia dari segi saiz pasaran, bilangan pengendali selain mampu melaksanakan pelbagai tugas termasuk CARILAMAT, bantuan bencana, pemadaman kebakaran, operasi penguatkuasaan dan sokongan tenaga.

Terdahulu Datuk Saiful memaklumkan, Maritim Malaysia menjangkakan pesawat berkenaan bakal siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Agensi pada tahun 2025 / 2026 yang bakal ditempatkan di Sandakan, Sabah.

 

MOU HELIKOPTER 2
 
MOU HELIKOPTER

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON