KUANTAN, 14 Jun – Agensi Pengustkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok di kedudukan 2.6 batu nautika dari barat daya muara Kuantan sekitar jam 1.35 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, bot samaran yang dinaiki oleh tiga anggota Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan telah mengesan sebuah bot fiber mencurigakan bersama dua suspek bergerak di persisiran pantai menuju ke sungai Kuantan.
Sebaik dirapati, bot suspek memecut laju ke hulu Sungai Kuantan dan bertindak meninggalkan bot fiber terbabit dengan meloloskan diri di celahan hutan bakau.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 35 peti berisi rokok tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
Kesemua rokok dianggarkan bernilai RM105 ribu termasuk cukai, dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Maritim Negeri Pahang akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari masa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras agar perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.