KUANTAN, 23 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang kru sebuah kapal tangki yang disyaki telah jatuh laut sekitar jam 10.30 malam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, sebaik Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada Maritime Rescue Coordinating Centre (MRCC) Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan Operasi CARILAMAT.
Mangsa Nerkrasov Sergey, 48, warga Rusia dilihat kali terakhir berada di atas kapal pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing dan disedari hilang semasa kapal berada di kedudukan sekitar 1.6 batu nautika Timur Tanjung Gelang.
Kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu dilaporkan belayar dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Pula, Croatia.
Maritim Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada MRSC Johor dan aset udara Maritim Malaysia bagi mendapatkan bantuan bagi mengesan mangsa.
Maklumat berkenaan kejadian ini turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi bagi memberi bantuan pencarian mangsa.
Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi-agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut mahu pun ditimpa bencana.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.